Hari ini, 17 September 2010 bersamaan dengan 8 Syawal 1431H bermakna sudah 8 hari kita berada di dalam bulan Syawal. Walaupun agak lambat untuk Keranda Mayat Hitam mengutarakan hal ini, namun di harapkan apa yang ingin dikongsikan pada kali ini dapatlah kita amalkan di masa hadapan.
Sebenarnya apa yang ingin saya utarakan ini saya ambil dari artikel dari laman Masjid Negara di http://www.masjidnegara.gov.my/. Setiap kali kedatangan Syawal, kita dapat lihat ramai insan yang bersuka-ria dan bergembira menyambut kedatangan antara hari-hari perayaan bagi umat Islam ini. Setiap umat manusia ada cara menyambut perayaannya, dan bagi kita umat Islam inilah perayaan kita seperti yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w:
"Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.”
( Hadis Riwayat al-Nasaai)
Namun, adakah kita sedar cara kita menyambut kedatangan Syawal ini bertetapan dengan Syariat Islam ataupun tidak. Bagi kita budaya di Malaysia, kita biasa menyambut Syawal dengan cara ziarah menziarahi antara sanak dan saudara. Selain itu, memakai pakaian yang serba baru lagi cantik-cantik merupakan tradisi kita di sini. Namun adalah elok andai kita dapat mengikuti cara menyambut Hari Raya seperti yang disyariatkan oleh Islam seperti:
- Amalam bertakbir di Hari Raya
- Lafaz Ucapan di Hari Raya
- Etika pemakaian di Hari Raya
Amalan takbir di Hari Raya
Mungkin ramai sudah maklum dengan perkara ini dimana, di hari raya kita memang digalakan untuk bertakbir membesarkan nama Allah s.w.t.seperti firman Allah di dalam Al-Quran:
"Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur."
(Surah al-Baqarah:185)
Namun, apa yg menarik perhatian saya yang mana tidak kita amalkan pada hari ini ialah di zaman Rasulullah, para sahabat dan umat Islam bertakbir dengan lantang dan kuatnya sewaktu perjalanan ke Masjid untuk mengerjakan Solat Sunat Hari Raya. Cuba bayangkan jika umat Islam di Malaysia hari ini mengamalkan perkara ini, akan terdengarlah riuh rendah seluruh kawasan insan bertakbir sahut menyahut bagaikan suatu pesta yang meriah!!! Tak perlu iringan Lagu Raya yang banyaknya berkaitan Duniawi sahaja.
"Para sahabat dan umat Islam bertakbir dengan lantang dan kuatnya sewaktu perjalanan ke Masjid untuk mengerjakan Solat Sunat Hari Raya"
Lafaz Ucapan di Hari Raya
Kebiasaanya, umat Islam di Malaysia akan mengucapkan ucapan "Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin" apabila berkunjung ke rumah saudara atau terserempak dengan kenalan di hari raya. Namun, amalan yang lebih afdal dan di lakukan di zaman Rasulullah ialah seperti yang diceritakan oleh l-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair katanya:
“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian daripada mereka mengucapkan kepada sebahagian yang lain dengan ucapan ‘Taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).”
( Kitab Fath al-Bari)
Insyaallah, mulai saat ini bolehlah kita tukarkan atau tambahkan amalan ucapan kita dengan ucapan ini!! Luahkan sahaja!! Andai ada yang bertanya apa maksudnya itu, jelaskanlah maknanya serta penjelasan inilah cara Rasulullah berucap di hari raya.
Etika Pemakaian di Hari Raya
Rasanya isu ini sudah saban kali di luahkan kepada masyarakat. Umum telah mengetahui adalah sunnah kaum muslimin untuk berhias dengan pakaian terbaik dan tercantik di hari raya. Di sunatkan juga untuk memakai wangi-wangian, mandi sunat di pagi hari raya, bercukur serta memotong kuku untuk membersihkan diri.
Adapun bagi kaum muslimat, walaupun adalah sunnah juga untuk memakai pakaian yang terbaik lagi cantik, adalah penting untuk kita memakai pakaian yang tidak menarik perhatian kaum lelaki seperti berkain nipis, terlampau bercorak serta berbentuk tubuh badan. Rasulullah ada bersabda:
"Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina."
( Hadis riwayat al-Nasaai)
Dari itu, marilah kita sama-sama ambil pengajaran untuk mengembalikan kembali cara hidup seperti yang di sarankan oleh Islam dan Rasulullah saw. Sesungguhnya, manusia hari ini telah jauh menyimpang dari cara hidup Islam yang sebenar. Jangan nanti pabila ditanya di Padang Mahsyar mengapa kita tidak melakukan perkara itu dan ini, kita menjawab tak pernah mendapat syariat mengenainya.. Pada waktu itu, tiada peluang untuk berundur membetulkan kesilapan kita lagi. Wallahualam ~ Haniff Izhar
0 comments:
Catat Ulasan