Sifat Patut Ada Pada Seorang Muslim

Sempena dengan kedatangan Ramadhan yang tak sampai seminggu lagi nak menjengah kita ini, marilah kita sama-sama mempertingkatkan lagi ketaqwaan kita kepada Allah swt. Pada minggu ini, saya ingin ketengahkan beberapa sifat yang patut ada pada seorang Muslim itu. 

Dengan adanya sifat ini, di harap kita dapat menjadi seorang Muslim yang lebih sejati dalam memperjuangkan Agama, Bangsa dan Negara. Perlu diingatkan kehidupan kita di dunia ini hanya sementara. Kehidupan di Akhirat sana sahajalah yang kekal abadi yang perlu kita beri tumpuan.

Sifat Pertama - Ikhlas

Adalah penting untuk setiap pekerjaan yang kita buat hari ini Ikhlas untuk kita lakukan. Ikhlas bermaksud kita redha ke atas apa yang kita lakukan tanpa mengharap apa-apa  balasan dari orang lain. Sebenarnya jika kita memahami konsep Islam dengan betul, kita tidak perlu risau dengan balasan dari orang lain. Allah sudah berjanji di dalam Al-Quran,

"Hai Manusia, kamu sudah bekerja bersungguh-sungguh menuju Tuhanmu, maka pasti kamu akan menemuiNya
(Surah Al-Insyiqaaq: 6)

Sebagai umat Islam, kita mempunyai kelebihan yang amat besar yang telah Allah berikan iaitu setiap apa yang kita lakukan, Allah telah janjikan dengan balasan yang setimpal samaada di Dunia atau di Akhirat sana. Memang betul, apabila kita bekerja, sebagai contoh dengan sebuah syarikat, kita mengharapkan balasan Gaji untuk menampung hidup kita. Ya, ini di namakan hak kita yang perlu di beri oleh orang lain sebaris dengan perjanjian antara kita dengan majikan sewaktu bermula kerja dahulu. Dalam masa yang sama, kita perlu melakukan kerja itu dengan ikhlas yakni berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendapat suatu keputusan yang baik.


Ikhlas amat penting supaya berlaku keadilan di atas bumi Allah ini. Jika tiada keikhlasan di dada sebahagian manusia, maka tiada pun yang ingin menderma kepada fakir miskin, tiada yang ingin membangunkan badan kebajikan masyarakat, tiada yang ingin menguruskan rumah masyarakat seperti masjid dan balai raya. 

Perkara Kedua - Taqwa

Taqwa - amat penting dalam diri kita sebagai umat Islam. Saban Jumaat khatib mengingatkan Umat Islam supaya bertaqwa kepada Allah. Taqwa bermaksud mempunyai sifat takut dan taat kepada Allah swt. Dengan adanya sifat ini, kita akan sentiasa mengingati Allah swt di mana jua kita berada dan dalam apa jua perbuatan yang kita lakukan. Biasakan diri kita untuk memasang niat setiap kali sebelum melakukan apa-apa pekerjaan niatkan berkat pekerjaan itu hanya kerana Allah swt. 

Perkara Ketiga - Amanah

Sifat ketiga yang tak kurang pentingnya ialah sifat Amanah. Sebagai umat Islam, jadikan amanah sebagai suatu asas dan pegangan kita dalam memegang apa jua tanggung jawab yang kita laksanakan. Kebanyakan umat manusia hari ini berpendapat bahawa orang yang jujur dan amanah pada hari ini tidak akan berjaya. Ini bertentangan dengan ajaran Islam yang menyuruh kita amanah. Di sebalik melihat kepada kekayaan dunia yang di kecapi oleh orang yang memperolehi yang dari jalan menipu, kita patut melihat kejayaan seseorang melalui kebahagian dan ketenangan hidupnya di dunia ini. Seorang yang berjaya bukan hanya mempunyai harta yang melimpah ruah, namun apa yang lebih penting ialah mempunyai kehidupan yang bahagia, keluarga yang behagia, isteri dan anak-anak yang soleh dan solehah serta sumber rezki yang halal. 

Di harap ketiga-tiga sifat ini dapat memperbaiki peribadi kita untuk menjadi seorang Muslim yang sejati. Pertingkatkanlah keimanan kita sempena Ramadhan yang bakal menjelang tiba ini.~ Haniff Izhar..

0 comments:

Catat Ulasan