Bersempena dengan kedatangan Muharram 1433 ini, ingin saya kongsikan sedikit maklumat. Moga-moga kita semua mendapat manfaat darinya. Artikel ini dicopy bulan-bulan dari sumber asal.
SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU HIJRAH SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN
Menjadi kelaziman sebahagian orang Islam, apabila berakhir bulan Zulhijjah yang memberi erti bermulanya tahun baru Hijrah, mereka melakukan satu upacara doa yang dikenali dengan ‘Doa Awal dan Akhir Tahun’. Ia dibaca selepas waktu Asar, atau sebelum Maghrib pada hari terakhir bulan Zulhijjah. Lafaz doanya ‘disunatkan’ dibaca sebanyak tiga kali. Dan dikatakan fadilat doa ini ialah apabila dibaca, maka syaitan akan berkata, “Kesusahan bagiku, dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua”. Disebut juga, dengan membaca doa ini Allah akan mengampunkan dosanya setahun.
Begitulah besarnya kelebihan yang disebut-sebut tentang doa awal dan akhir tahun ini. Tidak hairan, ramai yang mempercayainya dengan harapan memperoleh kelebihan itu. Sehingga di sesetengah sekolah, asrama, atau pejabat-pejabat, ia dibaca secara berkumpulan, dengan dipimpin oleh seorang ustaz selaku tekong dalam upacara doa tersebut dan di’amin’kan oleh jemaah.
Jika diteliti doa awal dan akhir tahun tersebut, diakui bahawa lafaz Arabnya sangat elok, susunan kata-katanya menarik, dan maksud kandungan doa juga tidak bersalahan dengan mana-mana prinsip syarak.
Tetapi, oleh sebab doa ini ditetapkan lafaz bacaannya, bilakah waktu dibaca, berapa kali bacaannya diulangi, dan apakah fadilatnya, maka upacara membaca doa ini adalah termasuk dalam bidaah. Kerana bacaan doa ini tidak pernah direkodkan dalam mana-mana kitab hadis muktabar, tidak pernah dinukilkan amalannya di kalangan para sahabat, tabien dan para salaf, dan tidak disebut pun oleh imam-imam yang masyhur.
"Syeikh Bakr Abu Zaid -rahimahullah- menyebut satu kaedah dalam amalan doa, iaitu: Setiap orang yang mengada-ngadakan sesuatu dalam urusan ibadah seperti doa dan zikir dalam bentuk yang ditetapkan dengan menganggap ia adalah satu sunnah, sedangkan ia bukan daripadanya, maka dia dihukum berdosa."
Alasannya perbuatan ini adalah satu bentuk meninggalkan perkara yang disyariatkan, satu penambahan terhadap syarak, satu galakan terhadap amalan yang bukan daripada syarak, dan menyebabkan orang awam menyangka bahawa ia suatu yang masyruk. (Tashih Ad-Dua: 44)
Apabila dikatakan bahawa ia bidaah, pasti ada suara membantah, “Sikit-sikit bidaah, apa salahnya berdoa?”. Ya, berdoa tidak salah. Ibadah doa boleh dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai. Termasuklah berdoa pada tarikh 29 Zulhijjah. Yang salahnya ialah menetapkan bentuknya seolah-olah ia daripada syarak. Ditambah pula dengan fadilat palsu tentang kata-kata syaitan begitu dan begini, dan jaminan pengampunan dosa selama setahun. Ini semua perkara ghaib yang mesti diambil daripada nas-nas sahih.
Oleh itu, janganlah dipandang mudah terhadap perkara-perkara kecil yang menyalahi syariat, apatah lagi termasuk dalam bidaah. Dan yakinilah bahawa setiap amalan ibadah yang dilakukan, sedangkan ia bukan daripada agama, maka amalan itu ditolak oleh syarak. Wallahu A’lam.
Bolehkah beramal dengan doa ini?
Berasaskan minda yang terbuka, tidak ada salahnya membaca doa ini selagimana tidak terlintas di hati pembacanya bahawa ia disyarakkan atau diperintah oleh agama kita. Begitu juga kerana maknanya pun tidak menyalahi syarak. Kita tidak perlu terhad kepada kaifiat yang didatangkan bersama-sama doa ini, seperti kaifiat doa awal tahun hendaklah di baca selepas Magrhrib 1 Muharram. Disebabkan maknanya baik, tidak kiralah waktu dan hari apapun, baca sahajalah doa ini dengan mengharapkan Allah mengkabulkan doa tersebut.
Doa ini adalah lebih baik tidak diamalkan samaada individu ada secara berjemaah. Kerana terbukti bahawa ia datang dari riwayat yang palsu dan batil. Kerana ia juga dikuatiri bahawa masyarakat akan menganggap bahawa amalan ini adalah sunnah yang datang dari baginda s.a.w atau dari sahabat nabi r.a. Lihat sahaja bilangan bacaan yang digalakkan untuk membacanya(sebanyak tiga kali), siapakah yang mengesyorkannya begitu? sudah tentu bukan sama sekali dari Allah s.w.t dan RasulNya.
Lihat realiti semasa, betapa ramainya individu muslim menganggap bahawa doa awal dan akhir tahun disyarakkan oleh agama sedangkan ia tidak termaktub sama sekali di dalam al-Quran dan Sunnah mahupun amalan salafussoleh. Jika anggapan seperti ini terus diyakini setelah mengetahui kebatilan riwayat, sanad dan matannya, maka secara jelasnya ini adalah Bid’ah di dalam agama dan perkara yang diketogarikan sesat dan ditolak oleh Islam.
Semua orang maklum bahawa doa tidak perlu terhad kepada apa yang terdapat dari al-Quran dan hadith-hadith Nabi saw sahaja tetapi ia adalah yang terbaik. Ia merupakan manifestasi keikhlasan dan kesungguhan si pemintanya yang dilahirkan dari suara hati dan bait-bait perkataan. Asalkan ia tidak menyalahi syarak dan keterlaluan, maka bacalah apa sahaja doa yang kita hajati.
Sumber:
0 comments:
Catat Ulasan